KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Negeri Terengganu menjadi destinasi ke-4 dalam penganjuran siri jelajah Program Satelit Komuniti MADANI yang dijenamakan sebagai 'Eksplorasi Perpaduan'.
Ia setelah negeri Sabah, Johor dan Perak menjadi tuan rumah dalam penganjuran program sebelum ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata objektif penganjuran Program Eksplorasi Perpaduan tersebut adalah untuk memperkukuhkan jati diri masyarakat melalui penghayatan seni, budaya dan warisan tempatan sebagai medium perpaduan.
Ia menjadi pemangkin kerangka Program MADANI Rakyat (PMR) dan secara tidak langsung menyediakan platform kepada masyarakat berbilang kaum untuk turut sama mempromosikan susur galur budaya dan warisan.
"Bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi yang di luar sana untuk kita tunjukkan bahawa keadaan kita di sini yang aman sentosa dan harmoni itu dilihat sebagai satu negara bangsa yang hebat, yang boleh menjadi penanda aras kepada pelbagai negara yang mempunyai pelbagai etnik," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Eksplorasi Perpaduan Satelit MADANI Rakyat 2025 di Pasar Payang, di sini hari ini.
Tambah Haslina, penganjuran program tersebut sempena cuti hujung minggu dilihat tepat pada waktunya dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat setempat mahu pun pengunjung atau pelancong yang hadir dari luar Terengganu.
Program yang berkonsepkan mini festival kebudayaan itu menghimpunkan pelbagai produk dan persembahan berkaitan kebudayaan dan tradisional termasuk makanan yang turut diketengahkan kepada orang ramai.