fb fb fb fb fb

Syarikat telco tidak dedah data peribadi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Syarikat telekomunikasi (telco) tidak akan mendedahkan sebarang maklumat yang mengandungi data peribadi pengguna kepada mana-mana pihak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan perkara itu susulan kebimbangan orang ramai berhubung arahan kerajaan kepada syarikat telco untuk menyerahkan data panggilan telefon.

Jelas beliau, arahan tersebut bertujuan memperkukuh keupayaan kerajaan dalam mengumpulkan data rasmi dan statistik perkhidmatan komunikasi yang lebih terperinci.

Bukan untuk tujuan pemantauan individu.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil maklum perkara ini. Arahan kepada syarikat telekomunikasi adalah keputusan Jemaah Menteri, dengan fokus kepada pengumpulan data bagi keperluan statistik rasmi," katanya.

Menurut Datuk Fahmi, banyak maklumat yang dimiliki dalam sektor telekomunikasi ketika ini masih bersifat umum, dan pengumpulan data di peringkat lebih terperinci seperti mukim atau daerah penting bagi menambah baik mutu serta liputan perkhidmatan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Korban Perdana Perpaduan anjuran UMNO Lembah Pantai di ibu negara, hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan 700 penerima dalam kalangan penduduk sekitar Lembah Pantai menerima agihan daging korban.

Majlis yang berlangsung di Dewan Kampung Pasir Baru itu melibatkan penyembelihan 15 ekor lembu, termasuk sumbangan 10 ekor daripada Datuk Fahmi Fadzil dan tiga ekor daripada UMNO Bahagian.

Dua ekor lagi daripada sumbangan individu perseorangan.

Seramai 700 petugas termasuk sukarelawan, jawatankuasa penganjur dan penduduk setempat terlibat dalam pengurusan penyediaan dan agihan daging korban sepanjang program berlangsung.

"Program tahunan ini bertujuan mengeratkan perpaduan komuniti setempat dan menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk pelbagai latar belakang," kata Datuk Fahmi.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID