fb fb fb fb fb

Keselamatan kenderaan 'rebuilt' diteliti - Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 6 Januari - Kementerian Pengangkutan akan menilai semula dasar pendaftaran dan penggunaan kenderaan 'rebuilt' atau kenderaan yang telah dibaik pulih menggunakan komponen terpakai di jalan raya bagi memastikan keselamatan kenderaan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerjasama akan dijalankan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk meneliti dasar tersebut secara menyeluruh.

“Kenderaan 'rebuilt' menggunakan komponen terpakai yang sudah mencapai had penggunaannya. Ia bukan kenderaan baharu kerana komponen berlainan telah digunakan, menjadikannya tidak selamat. Masalah ini menjadi salah satu punca ketidakselamatan kenderaan berat di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Pengangkutan, di sini.

Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Loke berkata terdapat 145,836 unit kenderaan ‘rebuilt’ yang berstatus aktif manakala 38,000 yang tidak aktif di seluruh negara ketika ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan kini dalam fasa akhir melantik Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) sebagai alternatif kepada PUSPAKOM bagi meningkatkan kecekapan pemeriksaan keselamatan kenderaan.

Loke berkata, prosedur pemeriksaan berkala akan ditambah baik dengan memberi fokus kepada komponen kritikal seperti tayar dan sistem brek.

Beliau menegaskan langkah tersebut bagi menangani isu penukaran tayar dan memastikan tayar yang digunakan mematuhi piawaian keselamatan.

Loke turut memaklumkan, Sistem High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) akan diperluaskan untuk memantau muatan kenderaan berat secara automatik.

Katanya, Sistem kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) akan dipertingkatkan dengan mekanisme point-to-point (POP) bagi memantau kelajuan kenderaan secara menyeluruh.

Beliau turut menyatakan kementerian akan memastikan kebolehlaksanaan sistem pemeriksaan baharu tersebut mengambil kira kemampuan operasi operator tanpa membebankan mereka.

“Kita akan melaksanakan pendekatan yang seimbang supaya keselamatan jalan raya dapat dipertingkatkan tanpa menimbulkan kesukaran kepada pihak terlibat,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN