fb fb fb fb fb

Impian pelajar terbaik UiTM: Mahu tadbir urus kewangan negara dengan telus

Danish Zafran Bazam, 22, dan Amin Zulharis, 21 ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) pagi tadi

KUALA LUMPUR, 6 Januari - 'Mahu membantu negara dalam pengurusan kewangan dan memastikan ketelusan penggunaan dana awam,' itu hasrat kedua-dua penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dinobatkan pemenang Hadiah Utama Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) baru-baru ini.

Danish Zafran Bazam, 22, dan Amin Zulharis, 21 ketika ditemui RTM berkata, peranan untuk menjadi juruaudit yang bertauliah dapat mengelak pembaziran yang berlaku dalam pengurusan dana awam.

Selain itu, mereka turut berkongsi rahsia kecemerlangan di sebalik kejayaan cemerlang mereka.

"Tidak belajar pada saat-saat akhir adalah penting untuk mengurangkan tekanan. Bagi saya, keazaman itu penting. Buat nota setiap kali ada peluang.

"Kita perlu percaya pada diri sendiri dan sentiasa menetapkan sasaran. Bila ada sasaran, kita akan berusaha memenuhi standard yang ditetapkan," kata Danish Zafran yang mempunyai impian menjadi akauntan bertauliah negara.

Mereka berkata kejayaan yang dicapai tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan pengorbanan, disiplin tinggi, keazaman, dan konsisten.

0601 GENIUS DUO

Tambah kedua-dua anak muda itu, dorongan ibu bapa juga menjadi penguat semangat mereka menjadi pelajar terbaik dalam bidang perakaunan di Malaysia dan persada dunia.

Kedua-dua penuntut Fakulti Perakaunan tahun terakhir itu merangkul kedudukan lima terbaik dunia menerusi peperiksaan ACCA pada September lalu.

"Selain untuk diri saya, kejayaan ini juga untuk ibu bapa yang banyak berkorban wang dan tenaga demi menyokong pengajian saya, serta para pensyarah yang sentiasa membimbing," kata Amin Zulharis yang mementingkan disiplin yang tinggi dalam pendidikan.

Mereka menyifatkan kejayaan tersebut sebagai batu loncatan untuk merealisasikan impian mereka di alam pekerjaan kelak.

Danish Zafran mengungguli kertas Advanced Financial Management (AFM) dan memperoleh tempat kedua di dunia.

Manakala Amin Zulharis meraih tempat keempat global dalam kertas Strategic Business Reporting (SBR).

GRACE AISYAH KEDAYAN