fb fb fb fb fb

Tiada kes hMPV direkodkan Kedah

Foto hiasan/ BERNAMA

ALOR SETAR, 6 Januari- Tiada kes berkaitan virus Human Metapneumovirus (hMPV) direkodkan di Kedah setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Dr Ismuni Bohari bagaimanapun berkata kesiapsiagaan dilakukan dengan memantau secara serius untuk memastikan penyakit ini terkawal dan boleh dibendung di negeri itu.

Beliau berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM memantau keseluruhan berkaitan penyakit ini dan ianya juga diaktifkan di semua fasiliti termasuk di pintu masuk sempadan negara.

Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan meneliti keseluruhan kemasukan penyakit dan data-data akan dipantau sepenuhnya CPRC Kedah.

"Pada waktu ini di Kedah, kita sedang dalam keadaan sangat terkawal, insya-Allah. Sekiranya ada info-info terkini kita akan maklum melalui Kementerian Kesihatan, insya-Allah. Kita patah balik kepada COVID-19 suatu masa dulu pakailah pelitup muka sebaik mungkin, basuh tangan. Sekiranya ada selsema berpanjangan pergi ke klinik secepat mungkin untuk kita mendapatkan rawatan dan pengesanan awal", katanya ketika ditemui RTM.

Sabtu lalu, KKM memaklumkan, data Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan makmal hospital Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat 327 sampel diuji positif hMPV tahun lepas, meningkat daripada 225 pada 2023.

Bagaimanapun, KKM berkata jangkitan hMPV tidak wajib dilaporkan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kerana ia bukan penyakit baharu.

ROSLINA BINTI DIN