fb fb fb fb fb

Keselamatan jemaah haji jadi keutamaan kerajaan, TH

Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 21 April- Keselamatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan Tabung Haji (TH) kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Pihaknya sentiasa berhubung dengan Kementerian Luar bagi mengetahui keadaan semasa konflik Iran dan Israel.

Menurut Mohd Na'im, maklumat yang diterima mendapati keadaan masih terkawal.

Pihaknya dan TH bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah negara itu bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji Malaysia.

Selain itu, kerajaan Arab Saudi juga bersiap siaga untuk melaksana tindakan alternatif sekiranya berlaku sebarang musibah.

"Harapan saya dengan keadaan sekarang macam saya sebut tadi apa yang penting untuk jemaah haji dengan niat untuk tunaikan haji kita sama-sama doa Allah mudahkan dan beri keselamatan kepada kita.

"Dalam masa yang sama says tekankan jemaah haji perlu hadir Kursus Perdana Haji.

"Jangan bila tengok apa yang berlaku dengan Iran-Israel dikata dah tak perlu pergi kursus haji. Itu serahkan kepada kerajaan untuk menentukan kebajikan dan keselamatan jemaah haji," katanya kepada pemberita selepas Kursus Perdana Haji Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara.

Kursus dianjurkan Tabung Haji itu bermula sejak 20 April sehingga 5 Mei depan di 17 lokasi terpilih seluruh negara yang menghimpunkan seramai 31,600 bakal jemaah haji.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI