fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyaksikan GT World Challenge Asia

FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 20 April- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke perlumbaan pembuka tirai siri GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Seri Paduka Baginda adalah bagi menyaksikan penyertaan paduka anakanda iaitu putera bongsu, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, yang mewakili pasukan JMR Triple Eight.

Bersama-sama rakan sepasukan Jordan Love, Tunku Abu Bakar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-7 dalam kategori Pro-Am dan ke-10 bagi keseluruhan perlumbaan yang disertai 33 kereta lain.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim serta Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Perlumbaan kedua bakal berlangsung pada 11.30 pagi esok dan akan disiarkan secara langsung di saluran GT World di YouTube.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE