PUTRAJAYA, 12 Februari- Beberapa siri latihan 'training of trainers' untuk kempen keselamatan dalam talian perlu dilaksanakan segera.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata usaha tersebut bagi membantu agensi terlibat menangani kes jenayah dalam talian dan memastikan pelayaran internet yang lebih selamat.
"Kempen kesedaran dalam talian perlu disegerakan. Kerjasama di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penerangan, Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) perlu kita gerakkan segera dan saya harap menjelang Aidilfitri ataupun kalau boleh sebelum itu beberapa siri trial training of trainers dapat dilakukan kerana target kita nak tahun ini juga", katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.