PETALING JAYA, 10 September - Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu maklum balas Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan bunuh diri.
Ini bagi menggalakkan mereka yang terkesan tampil mendapatkan bantuan.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pada September tahun lalu, KKM telah menghantar memorandum moratorium (penangguhan) sebagai usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri.
"Kita di KKM telah membuat memorandum dan kabinet pun telah bersetuju dalam hal ini dan sekarang ini dia masih diperingkat peguam negara untuk memuktamadkan isu-isu yang berkaitan dengan hal tersebut," katanya pada sidang media pelancaran ‘Ride for Suicide Awareness Kuala Lumpur – Penang 2022’, di sini.
Program Ride For Suicide Awareness,KL-Penang, anjuran Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) akan melibatkan 180 Motosikal berkuasa tinggi dan 15 buah kereta dalam usaha mencegah tindakan bunuh diri dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesihatan mental.