fb fb fb fb fb

Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022, hargai penggiat industri pelancongan tempatan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 10 September - Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember depan, bakal menawarkan lebih 60 anugerah kepada penggiat industri yang cemerlang dan memberi sokongan kepada sektor pelancongan negara.

Dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dengan kerjasama Santai Travel, anugerah julung kali diadakan itu akan turut memberi penghormatan tertinggi kepada individu dan organisasi yang menyumbang serta memainkan peranan penting dalam kejayaan industri pelancongan.

Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata ia adalah anugerah kemuncak industri pelancongan yang mengiktiraf semua penggiat industri Malaysia dalam menjayakan aspirasi negara.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia mempunyai anugerah industri pelancongan sebagaimana pada peringkat global, kerana negara ini memiliki kelebihan dan kejayaan dalam industri itu.

(Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun)

"Pada peringkat global, sudah ada anugerah sedemikian. Visi penganjuran kita juga ke arah itu memandangkan kita mampu mengangkat sektor dan industri pelancongan negara.

"Kita akan mencari mereka yang berbakti dalam industri ini dan memberi pengiktirafan yang sepatutnya. Sebagai contoh, pengusaha hotel yang banyak membantu sektor pelancongan di negara ini," katanya pada sidang akhbar, di sini.

Tambah Mohd Khalid, anugerah itu bakal menjadi motivasi kepada seluruh penggiat industri pelancongan dan hospitaliti di Malaysia, supaya bekerja lebih gigih bagi mempromosikan perniagaan pelancongan, sekali gus mewujudkan imej positif negara di seluruh dunia.

Media Baharu