SEMPORNA, 10 September - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) komited memastikan jaringan telekomunikasi di pulau-pulau berpenduduk serta pulau tumpuan pelancong di seluruh negara, dipertingkatkan segera.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata rangkaian telekomunikasi yang baik memberi impak signifikan terutamanya dalam aktiviti pelancongan yang merupakan skop ekonomi penduduk setempat.
Beliau berkata, sekiranya kawasan berkenaan tidak termasuk dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pembangunan telekomunikasi perlu dilaksana dalam projek khas yang akan diberikan keutamaan.
"Walaupun mungkin di situ tidak ada penduduk, tetapi ada petugas daripada anggota angkatan tentera sepenuh masa sepanjang tahun.
"Misalnya di Sipadan, kalau secara teknologinya boleh kita tembak daripada menara (telekomunikasi) terdekat 11km sampai Sipadan maka saya hendak tengok dengan segeranya di Sipadan ada kemudahan liputan segera," katanya selepas mengadakan lawatan ke beberapa pos kawalan di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan sekitar pulau-pulau di Semporna.
Tambah Annuar, JENDELA fasa dua yang akan dilaksana dalam tempoh 2023 hingga 2025, kini dalam proses menyiapkan dokumen untuk panggilan tender.
Tan Sri Annuar yang dalam lawatan kerja ke Sabah turut memaklumkan, keperluan aset bagi kegunaan anggota keselamatan bertugas di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) perlu diperkasakan.
Katanya, perkara tersebut penting dalam memastikan anggota keselamatan negara sentiasa bersiap siaga dalam pelbagai aspek.
"Kita faham juga apabila ada berita-berita yang mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang mencari rezeki, berniaga dan menjalankan aktiviti harian maka soal keselamatan adalah perkara paling penting.
"Pasukan komunikasi dikehendaki membuat liputan sepenuhnya perkara berkaitan usaha keselamatan yang sedang berjalan," katanya