fb fb fb fb fb

Siasatan tiga anak tentera lemas di kolam latihan pada fasa akhir

Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan

IPOH, 13 Mac- Siasatan kes tiga kanak-kanak lemas di kolam latihan kereta kebal di sebuah kem tentera dekat Temerloh, Pahang pada Januari lalu sudah pada fasa akhir.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya akan memuktamadkan hasil siasatan itu tidak lama lagi.

Dalam masa sama, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) instalasi kawasan latihan berisiko tinggi bagi mengelak kawasan dicerobohi oleh orang awam.

"Sekarang ini memang kita ada rondaan oleh anggota dan pegawai yang bertugas (di kawasan terbabit). Mungkin daripada segi kekerapan (akan ditambah baik).

"(Ini kerana) kita nak pastikan tidak ada orang awam atau anak-anak dibenarkan mendekati kawasan tersebut melainkan anggota yang menjalani latihan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di sini.

Pada 26 Januari lalu, dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang remaja lelaki, 13, yang juga anak kepada anggota TDM di kem terbabit ditemukan lemas selepas disyaki mandi di kolam sedalam kira-kira 2.1 meter berkenaan.

Susulan itu, TDM menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN
TDM tubuh lembaga siasatan kes tiga anak tentera lemas dalam kolam latihan

SITI AISHAH MD ISA