SEMENYIH, 2 November- Selangor tidak selindung sebarang maklumat berhubung insiden tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang meragut 31 nyawa pada 16 Disember 2022.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan berhubung kejadian bukan dibuat kerajaan negeri, sebaliknya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan autoriti lain.
"Isu yang melibatkan tindakan semula jadi yang diluar kawalan kerajaan negeri. Saya sudah minta LA untuk melihat dengan terperinci berkenaan isu tersebut.
Kalau ada hal-hal tertentu, kami maklumkan nanti kepada mereka. Ini sebab perkara itu memang kita telah teliti sejak dari sebulan, selepas kes itu selesai," kata Amirudin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Rewang Komuniti Strata Negeri Selangor di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Hulu Langat.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 23 mangsa dan ahli keluarga individu yang maut dalam insiden berkenaan menyaman kerajaan Selangor dan enam yang lain kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawab serta kecuaian.
Pihak lain dinamakan ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor selain BL Agro Sdn Bhd, Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd dan Infrasel Sdn Bhd.
Mereka menuntut ganti rugi am dan teruk serta kerugian tidak ketara yang tidak terhad kepada kesakitan dan penderitaan, tekanan emosi serta mental termasuk ganti rugi khas berjumlah lebih RM1 juta.