fb fb fb fb fb

Kes saman Rahim Thamby Chik terhadap DAP selesai

(Khoo Poay Tiong/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 5 Disember- Kes saman fitnah Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik terhadap Khoo Poay Tiong dan parti DAP selesai apabila Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu memohon maaf kepada Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berhubung penerbitan beberapa artikel mengaitkannya dengan pelbagai skandal.

Khoo yang turut mewakili DAP membacakan kenyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How pada prosiding pagi tadi.

Pada prosiding itu, Khoo menyatakan artikel-artikel tersebut adalah tidak berasas serta tidak benar dan telah memadam artikel berkaitan Abdul Rahim dan keluarganya.

"Kami telah memadamkan artikel-artikel itu dan berjanji tidak akan menerbitkan sebarang artikel yang mengandungi alegasi-alegasi ini (dakwaan) atau serupa terhadap Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik,” katanya.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan itu dengan kos RM180,000 dibayar kepada Abdul Rahim.

Pada 17 September 2020, Abdul Rahim mendakwa pada 16 Disember 2018, Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu telah menulis, menerbit atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel-artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkan beliau di laman Facebook milik defendan pertama, laman sesawang DAP dan portal berita The Star.

(Foto FB Rahim ThambyChik)

Media Baharu