fb fb fb fb fb

Kes pukau, dua warga China antara yang ditahan

ALOR SETAR, 14 April- Polis Kedah menahan dua wanita warga China dan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan secara pukau yang menyasarkan warga emas di negeri itu sehingga terdapat mangsa kerugian RM110,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata modus operandi sindiket berpura-pura meminta bantuan kewangan yang mendorong mangsa menyerahkan wang atau barang berharga.

Katanya, mangsa dijanjikan pulangan lumayan sebagai imbalan sebaliknya mangsa hanya menerima sebotol air mineral dan garam yang diletakkan di dalam sampul.

Datuk Wan Hassan menerusi kenyataan berkata kesemua suspek ditahan dalam Op Gagak yang digerakkan pada pukul 11.45 pagi semalam.

Kes yang dilaporkan pada Rabu itu berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.


(Foto Hiasan)

Lelaki tempatan berusia 24 tahun itu mengaku bertindak sebagai pemandu kepada dua wanita warga China yang berusia 47 dan 55 tahun.

Berikutan itu, polis merampas seutas jam tangan jenama Rolex, dua utas rantai leher dan sebentuk cincin perak disyaki emas putih, tujuh pasang subang emas, enam utas rantai leher, empat utas gelang kaki emas dan lima bentuk cincin emas.

Turut ditemui, bar bertulisan disyaki emas, sepasang subang perak, empat loket emas serta wang tunai bercampur-campur sebanyak 1,667, termasuk wang tunai mata wang Yuan China iaitu 700 yuan, mata wang Hong Kong bernilai 1,000 beg silang biru serta tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Honda City.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Media Baharu