BALAKONG, 14 April- Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan kepentingan serta hal kebajikan yang membabitkan pengamal media di negara ini akan sentiasa terbela.
Jelasnya, atas keprihatinan pihaknya bersama jawatankuasa penganjuran Hari Wartawan Malaysia (HAWANA) mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pengamal media yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan.
"Harapan saya adalah kebajikan rakan-rakan media akan sentiasa terbela.
Insya-Allah, saya akan cuba bertemu dengan komuniti 800 pekerja yang diberhentikan dari Utusan Malaysia dahulu, untuk faham keadaan mereka serta apa yang boleh dibantu," kata Fahmi kepada pemberita dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kasih HAWANA di Balakong, hari ini.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ditemui pemberita pada Program
Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kasih HAWANA di Balakong)
Dalam sesi kunjungan itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Muhammad Basir Abu Bakar yang sebelum ini bertugas sebagai pengamal media.
Selain itu, pihaknya akan membantu Muhammad Basir mendapatkan talian internet tetap secara percuma selama tiga tahun.