PUCHONG, 20 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan terhadap kes anggota polis pengiring orang kenamaan yang dipercayai memukul pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) masih dalam siasatan.
Anwar menjelaskan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara perlu terlebih dahulu berpuas hati dalam siasatan yang dilaksana sebelum tindakan diambil.
"Kes ini siapa kata tutup? Ya, kadang-kadang prosesnya mengambil masa tetapi perkara ini memang jadi perhatian. Saya secara peribadi mengambil tahu tentang hal yang sedemikian sama ada kes yang melibatkan OKU atau orang biasa.
"Tetapi saya nak ingatkan di sini bahawa kadang-kadang kita menghukum sebelum siasatan atau sebelum tahu keputusan siasatan. Ia mesti dirujuk kepada Peguam Negara yang akhirnya memutuskan sama ada untuk didakwa atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini.
Mei lalu, seorang pemandu pekak dan bisu mendakwa ditumbuk polis pengiring orang kenamaan ketika menunggu untuk mengambil penumpang di sebuah hotel di ibu negara.