fb fb fb fb fb

Tiga PPS masih aktif di Perlis, paras air berkurang

Keadaan banjir di Perlis, kediaman dipenuhi lumpur

ARAU, 20 September- Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih diaktifkan di Perlis yang menempatkan 108 penduduk yang terjejas daripada 35 keluarga, setakat pukul 3.00 petang tadi.

Manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau ditutup sejak pukul 7.00 petang semalam kekal ditutup hingga petang ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mad Esa dalam satu kenyataan berkata, PPS SK sena menempatkan 24 penduduk terjejas banjir melibatkan 10 keluarga dari Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena, Kampung Seberang Tambang dan Kampung Sungai Bakong.

"PPS SK Dato' Ahmad Musa yang diaktifkan semalam menempatkan 47 penduduk terjejas banjir daripada 12 keluarga dari kampung Sungai Padang.

"PPS SK Kubang Gajah kekal dengan 37 penduduk terjejas banjir yang terdiri daripada 13 keluarga dari Kampung Rawa Indah, Kampung Alor Ara dan Kampung Kubang Gajah," katanya.

Bagaimanapun hasil tinjauan pihak RTM mendapati paras air di sekitar kampung terjejas semakin berkurang.

2009 BANJIR KEDAHPenduduk terjejas banjir di PPS di Kedah

Sementara itu di Kedah, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di negeri itu bertambah kepada 39 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat APM Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam satu kenyataan berkata, jumlah penduduk terjejas banjir menunjukkan peningkatan kepada 6,861 orang.

"2,551 daripadanya melibatkan penduduk di 12 PPS di daerah Kota Setar daerah paling teruk terjejas ketika ini.

"Dua PPS Taman Sang Kancil dan PPS Kampung Tok Betok Sungai Ular di daerah Kulim ditutup tengah hari tadi menjadikan enam PPS masih dibuka di daerah itu," katanya.

2009 BANJIR PULAU PINANGPenduduk terjejas banjir di PPS di Pulau Pinang

Pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di ketiga-tiga daerah di Seberang Perai dijangka ditutup secara berperingkat.

Perkara itu susulan keadaan cuaca dilihat beransur pulih selain berlaku trend penurunan terhadap jumlah penduduk terjejas banjir di tujuh PPS terlibat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini, terdapat seramai 521 penduduk terjejas banjir masih berada di PPS daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

''Dari laporan semalam masih ada pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi. Kita lihat keadaan dengan perubahan cuaca yang semakin baik dan dijangka PPS ini akan menghentikan operasi dalam satu atau dua hari lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Pembukaan Rasmi Pakej 12A di Loji Raawatan Air (LRA) Sungai Dua, di sini hari ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI