PASIR MAS, 13 Julai - Pengendali makanan yang didakwa menjadi punca kejadian keracunan makanan membabitkan 343 individu di sebuah kolej di Kota Bharu pada 8 Julai lalu didapati tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, berkata semakan mendapati tiada maklumat berkenaan syarikat pengendali makanan terbabit dalam rekod pihak berkuasa.
“Setiap pengendali makanan diwajibkan berdaftar dan memiliki lesen sah bagi membolehkan pemeriksaan dari aspek kualiti dan kebersihan dijalankan oleh KKM,” katanya.
Susulan itu, tindakan telah diambil terhadap pengendali berkenaan di bawah Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Manakala premis terlibat telah diarah tutup bermula 9 hingga 16 Julai bagi tujuan siasatan dan pemulihan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Bersepadu Undang-undang Kesihatan Awam (OSKA) Siri 7/2025 di Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Zaini Hussin berkata JKNK terus memperkasa penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi melindungi kesejahteraan awam, khususnya bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menurut beliau, beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil melibatkan pelbagai akta kesihatan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan.
Antaranya mengeluarkan sebanyak 498 kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 [Akta 154] bagi tujuan pencegahan dan kawalan Penyakit Demam Denggi dengan jumlah keseluruhan bernilai RM249,000.
Menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852]pula, pihaknya mengeluarkan 5,953 notis kesalahan daripada 7,643 premis yang dilawati dan 7,744 sesi advokasi pendidikan telah diberikan.
Sementara itu, di bawah Akta Makanan 1983 [Akta 281], JKNK telah memeriksa 4,999 premis makanan di seluruh negeri.
Mengarahkan 39 premis makanan ditutup sementara mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, atas faktor kebersihan dan keselamatan makanan.
Selain itu, 35 kes di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan 10 kes di bawah Akta Makanan 1983 telah diambil tindakan perundangan melalui pendakwaan di mahkamah.