KUALA LUMPUR, 13 Julai -Kerajaan disaran memperkenalkan Akta Samaritan pada sidang Parlimen akan datang bagi menyediakan perlindungan undang-undang kepada orang awam dan petugas barisan hadapan yang secara sukarela membantu individu dalam kecemasan.
Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye berkata undang-undang seumpama itu telah wujud di banyak negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan United Kingdom, dan kini amat diperlukan di Malaysia bagi memastikan individu yang berniat membantu tidak berasa takut akan implikasi undang-undang.
“Akta ini penting kerana ia menggalakkan orang awam untuk tampil membantu dalam situasi kecemasan. Ramai yang teragak-agak untuk membantu mangsa kemalangan atau individu yang mengalami kecemasan perubatan kerana bimbang akan tanggungjawab undang-undang yang mungkin timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lee Akta Samaritan akan memberikan perlindungan daripada liabiliti sivil atau jenayah kepada mereka yang memberikan bantuan dengan niat baik, sekali gus mewujudkan masyarakat yang lebih penyayang dan bertindak secara proaktif.
Lee turut menegaskan bahawa bantuan segera dalam kes seperti kemalangan jalan raya, serangan jantung, kejadian lemas atau pengsan secara tiba-tiba boleh menjadi penentu antara hidup dan mati. Oleh itu, perlindungan undang-undang akan mendorong orang awam yang terlatih dalam pertolongan cemas atau CPR untuk bertindak tanpa ragu-ragu.
Lee berkata undang-undang ini juga akan membantu mengatasi kesan psikologi "kesan penyaksi" (bystander effect), di mana individu lebih cenderung untuk bertindak apabila mereka merasa selamat daripada akibat negatif.
“Ia juga akan mengukuhkan mesej bahawa kerajaan menghargai dan melindungi mereka yang tampil membantu orang lain,” tambahnya.
Beliau menekankan bahawa rangka kerja undang-undang yang jelas juga akan memberi manfaat kepada profesional perubatan, petugas kesihatan yang tidak bertugas dan sukarelawan yang memberikan bantuan kecemasan di luar waktu kerja rasmi mereka.
Selain itu, Lee menegaskan bahawa penggubalan Akta Samaritan selari dengan nilai-nilai masyarakat Malaysia, seperti menggalakkan kebaikan, tolong-menolong dan mengukuhkan rasa tanggungjawab bersama dalam komuniti.
Beliau juga menegaskan bahawa perlindungan undang-undang ini hanya harus diberikan kepada mereka yang bertindak dengan niat baik, dan tidak kepada individu yang bertindak dengan cuai atau berniat untuk mencederakan.
“Undang-undang ini seharusnya meliputi pelbagai situasi kecemasan termasuk kesulitan perubatan, kemalangan dan bencana alam. Kempen kesedaran awam juga perlu dijalankan untuk mendidik rakyat tentang hak dan tanggungjawab mereka di bawah undang-undang ini,” katanya.
Lee juga mencadangkan agar pendekatan rundingan melibatkan pihak berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Peguam Negara, organisasi perubatan dan pertolongan cemas, pasukan penyelamat, pakar hak asasi manusia dan undang-undang, serta kumpulan komuniti untuk memastikan undang-undang yang digubal adalah menyeluruh dan seimbang.
“Pengenalan Akta Samaritan bukan sekadar mengenai perlindungan undang-undang, tetapi juga mengenai membentuk budaya prihatin, bertanggungjawab dan semangat kewarganegaraan. Kita tidak boleh membiarkan rasa ragu dan takut meragut nyawa. Masa untuk bertindak adalah sekarang,” kata Lee. - BERNAMA
=