KUALA LUMPUR, 13 Julai - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media sosial.
Namun, beliau menasihati orang ramai termasuk pengamal media, agar berhati-hati dalam berkongsi dokumen berkenaan sekiranya ia tergolong sebagai bahan terperingkat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Saya tidak boleh sahkan sama ada dokumen yang tersebar itu sahih atau tidak.
“Sekiranya dokumen sahih dan dalam kategori rahsia maka Akta Rahsia Rasmi 1972 akan terpakai jadi kita semua perlu sentiasa berwaspada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival AI di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beliau difahamkan laporan polis telah dibuat berhubung penularan dokumen berkenaan, namun setakat ini belum ada maklumat lanjut mengenainya.
Tambahnya, isu berkenaan juga berkemungkinan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
"Kebiasaannya, Perdana Menteri sangat prihatin tentang apa-apa perkara yang berbangkit di khalayak umum, jadi ada kemungkinan akan dibincangkan,” katanya.
Ditanya sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bertindak terhadap penyebaran kandungan terbabit di media sosial, beliau menjelaskan, tindakan hanya boleh diambil berdasarkan aduan pengguna dan keputusan akhir terletak pada pihak platform.
Semalam, media melaporkan petikan minit mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 tersebar di laman Reddit.