GEORGE TOWN, 12 Mei - Jumlah kes Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut (HFMD) di Pulau Pinang dari 1 Januari hingga 7 Mei tahun ini meningkat 8.4 kali ganda kepada 959 kes, berbanding 102 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, 54 kluster HFMD dilaporkan berbanding hanya tujuh kluster direkodkan pada 2021 dengan peningkatan 6.7 kali ganda.
54 premis diarah tutup namun kini telah beroperasi semula.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin, penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutama kanak-kanak di premis seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan prasekolah.
(Dr Norlela Ariffin)
"Hampir keseluruhan pesakit terdiri yang menghidapi HFMD, pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.
"Virus HFMD boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh serta najis pesakit dan kebiasaannya kes bergejala ringan seperti demam diikuti ruam pada kaki, tangan, mulut dan lidah," Katanya
Beliau sehubungan itu, menasihati orang ramai agar mengutamakan kebersihan anak-anak dan mengambil langkah pencegahan seperti kerap basuh tangan dengan sabun dan mengekalkan kebersihan di rumah.