(FOTO HIASAN/ BERNAMA)
KANGAR, 5 Julai- Kes denggi di Perlis agak membimbangkan apabila sebanyak 443 kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 16 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan tersebut merupakan yang tertinggi direkodkan di negara ini dengan satu kematian dilaporkan akibat komplikasi denggi di negeri ini.
Setakat 24 Jun lalu, sebanyak 181 kes atau 45.8 peratus dimasukkan ke hospital di mana 22 kes memerlukan rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Tahun ini, terdapat 43 lokaliti wabak telah dilaporkan iaitu 37 wabak terkawal, empat wabak tidak terkawal dan dua kawasan tumpuan utama.
Sehingga kini, Felda Rimba Mas mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 46 kes, diikuti Taman Jali dan Felcra Lubuk Sireh dengan masing-masing 12 kes.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam kenyataannya memaklumkan, pihak kerajaan negeri memandang serius situasi semasa kes denggi dan mencadangkan beberapa langkah keselamatan dan pencegahan diambil segera.
(Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli)
Antaranya semua agensi perlu memainkan peranan masing-masing dari aspek kebersihan dengan memastikan semua kawasan operasi dalam keadaan bersih dan bebas pembiakan nyamuk aedes.
Selain itu, masyarakat juga perlu memberi perhatian kepada aspek kebersihan dalam dan luar rumah dengan memastikan tiada bekas air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Masyarakat juga perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya demam bagi mengelakkan komplikasi demam denggi serta memberikan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan Negeri membuat kawalan nyamuk aedes di kediaman masing-masing.