SUMATERA, 5 Julai- Pemangku Raja Perlis Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan penghargaan kepada penerbangan Malaysia kerana memuatkan artikel serta gambar-gambar menarik mengenai destinasi pelancongan di Perlis.
Artikel mengenai keindahan budaya di negeri itu diterbitkan di dalam majalah rasminya Going Places bagi bulan Julai.
Laporan tersebut memberikan pelbagai informasi mengenai budaya, warisan, masakan dan juga landskap semula jadi di negeri itu diletakkan di dalam setiap poket tempat duduk penumpang pesawat domestik dan antarabangsa.
Antara pengisiannya adalah mengenai asal usul bandar Kangar, keindahan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, sajian juadah istimewa di Perlis selain lokasi melawat popular di View Point Wang Kelian serta banyak lokasi lain.
Demikian dititahkan Baginda menurut hebahan media oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di Kaleo Rendang Bistro Medan, Sumatera Utara, Indonesia.
Walaupun media sosial kini menjadi medium popular untuk tujuan promosi, namun penulisan dan fotografi berkualiti memberikan impak sangat penting bagi mempromosikan lokasi-lokasi menarik selain mempamerkan budaya masyarakat setempat.
(Promosi Masakan Perlis di Kaleo Rendang Bistro Medan, Indonesia)