fb fb fb fb fb

Kes demam denggi menurun sedikit pada ME17

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 3 Mei- Jumlah kes demam denggi dilaporkan menurun sedikit kepada 2,237 kes pada Minggu Epidemiologi ke-17 (ME17) iaitu dari 21 April hingga 27 April lepas berbanding 2,321 kes pada minggu sebelumnya dengan tiada kematian akibat komplikasi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 adalah sebanyak 52,887 kes berbanding 36,977 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

"Manakala terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

"Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan adalah sebanyak 63 lokaliti berbanding 80 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Daripada 63 lokaliti yang dilaporkan, 51 lokaliti di Selangor, empat lokaliti di WPKL & Putrajaya, tiga lokaliti di Pulau Pinang, dua lokaliti Perak, dua lokaliti di Kedah dan satu lokaliti di Sarawak,"katanya.

Sementara itu bagi survelan chikungunya, Datuk Dr Muhammad Radzi memberitahu tiada kes direkodkan.

"Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-17.

"Manakala bagi survelan zika, sebanyak 850 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,"katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah Datuk Dr Muhammad Radzi, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kendiri dengan memakai pakaian yang berwarna cerah, baju berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan produk penghalau nyamuk (repelan) bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes.

"Selain itu, elakkan berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu pada awal pagi dan lewat petang. Dinasihatkan agar melakukan aktiviti semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa yang bersembunyi di dalam rumah.

"Orang ramai juga boleh menyemak status wabak atau hotspot denggi bagi destinasi yang dituju melalui laman sesawang iDengue (https://idengue.mysa.gov.my) sebagai langkah berjagajaga dan seterusnya mengambil tindakan proaktif untuk mengelak terkena jangkitan,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE