KUALA LUMPUR, 29 September- Kes demam denggi bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-38 iaitu dari 18 hingga 24 September, meningkat 12.5 peratus kepada 1,533 kes berbanding 1,363 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu menjadikan kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 42,084 kes berbanding 19,423 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Jelas beliau, kes kematian akibat komplikasi denggi juga meningkat kepada 24 kes berbanding 13 kematian bagi tempoh sama pada 2021.
“Jumlah lokaliti titik panas juga meningkat pada ME ke-38 iaitu 48 lokaliti berbanding 42 pada minggu sebelumnya dengan 28 lokaliti dilaporkan di Selangor, 15 di Sabah serta masing-masing lima di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan.
(Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan)
Sementara itu, Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan, survelan chikungunya merekodkan lapan kes pada ME ke-38 dengan tiga kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua kes di Selangor dan Pulau Pinang serta satu kes di Kelantan, sekali gus menjadikan kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 646 kes.
Bagi survelan zika, sebanyak 1,452 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan dan kesemua hasil adalah negatif.
"Musim hujan yang berselang-seli dengan cuaca panas merupakan keadaan yang ideal bagi nyamuk Aedes membiak.
Justeru orang ramai perlu pastikan kawasan berhampiran rumah seperti taman rekreasi dan tanah lot kosong tidak mempunyai longgokkan bekas berpotensi pembiakan dengan menjalankan gotong-royong melupuskan barang tidak terpakai di kawasan kejiranan," ujarnya lagi.
Jelas beliau, nyamuk Aedes hanya memerlukan air yang sedikit untuk bertelur dan telur berkenaan dapat bertahan selama lapan bulan dalam keadaan kering.