CHUPING, 29 September- Masyarakat Islam di Perlis diseru supaya terus menyumbang wakaf tunai menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk manfaat ummah.
Titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, wakaf tunai tersebut akan diagihkan untuk inisiatif seperti Wakaf Tunai Manfaat Am, Wakaf Al-Quran atau kitab, Wakaf Pembinaan dan penyelenggaraan masjid serta surau.
"Selain itu, wakaf berkenaan akan turut diagihkan untuk Wakaf Penyelenggaraan Tanah Perkuburan Islam, Wakaf Pusat Autisme Negeri Perlis, Wakaf Pendidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Wakaf Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan Wakaf Pendidikan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)," titah baginda.
(Tuanku Syed Faizuddin menyerahkan sumbangan kepada 30 asnaf terpilih di Kampung Ngulang, Mata Ayer)
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Islah, Kampung Ngulang, Mata Ayer.
Wakaf tunai boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam MAIPs (09010010063983) atau di mana-mana tabung dan kaunter wakaf MAIPs.