fb fb fb fb fb

Kes CKD di Kelantan meningkat, kesan ubat dan produk kosmetik tidak berdaftar

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah

KOTA BHARU, 28 Mei - Kelantan merekodkan kenaikan kes penyakit buah pinggang kronik (CKD), dipercayai kesan daripada pengunaan ubat dan produk kosmetik yang tidak berdaftar dan tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, peningkatan kes tersebut dikesan berlaku dalam kalangan pesakit berumur 30 hingga 40 tahun.
 
Beliau berkata, penduduk di negeri itu dinasihatkan supaya mendapatkan pandangan dan maklumat daripada Pegawai Perubatan dan Ahli Farmasi sebelum membuat pembelian ubat dan produk kesihatan khususnya secara dalam talian.
 
Ia penting bagi mengelak daripada kesan buruk ubat terbabit yang berkemungkinan dicemari bahan terlarang selain tidak mengikut sukatan yang bersesuaian.
 
"Kesedaran pendedahan pada rakyat mengenai kepentingan untuk memastikan produk yang dia beli itu mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Farmasi khususnya kandungan KKM, kandungan dalam produk kerana kesannya itu seperti saya kata, kita mendapati ada kenaikan pesakit CKD yang berumur 30-40 meningkat," kata Hilmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kelantan Pharmacy Conference 2024 anjuran Persatuan Farmasi Malaysia Negeri Kelantan, di sini.

Mengulas lanjut, katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) juga giat melaksanakan profiling penjualan ubat dan kosmetik tidak berdaftar secara atas talian khususnya di media sosial dan siasatan akan dijalankan jika disyaki melanggar perkara tersebut.

Sementara itu Hilmi memberitahu, Enakmen Kawalan Hiburan baharu Kelantan bakal memperluas bidang kuasa Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai pemberi lesen atau permit berserta penguatkuasaan.

Katanya, ia merupakan salah satu elemen penting penggubalan enakmen tersebut bagi mengelakkan berlaku perselisihan bidang kuasa antara PBT dan Ketua Jajahan.
 
"Enakmen sekarang ini memberikan Ketua Jajahan sebagai pemberi lesen kepada acara hiburan manakala penguatkuasaan diperturunkan kepada penguatkuasa PBT, sedangkan Yang DiPertua PBT bukanlah pemberi lesen. Dan begitu pemberi lesen pindaan terbaru kita tukar daripada ketua jajahan kepada Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan memberikan lesen penguatkuasaan daripada penguatkuasa PBT," kata hilmi.

Mengulas lanjut beliau berkata, proses penggubalan Enakmen Kawalan Hiburan baharu Kelantan kini berada di peringkat akhir untuk pembentangan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang.
 
Katanya, penggubalan tersebut telah mendapat kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri dan sedang menunggu draf dalam bahasa inggeris.
 
Terdahulu, media melaporkan kerajaan Kelantan berusaha bagi memperkasakan semula Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang dilaksanakan sejak lebih 25 tahun lepas.

Hilmi berkata, enakmen sedia ada sudah lama dikuatkuasakan sejak diwarta pada tahun 1998 tanpa dilakukan sebarang pindaan selepas itu.

TETITIA YUSOFF