fb fb fb fb fb

Pembinaan ART di Johor akan dimuktamadkan Ogos ini

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI, 28 Mei- Kajian dan hala tuju projek pembinaan Sistem Pengangkutan Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat di Johor Bahru, akan dimuktamadkan Ogos ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tempoh itu diperlukan Kementerian Pengangkutan (MOT), untuk mengkaji pelaksanaannya.

"ART yang kita maksudkan adalah ART yang menggunakan laluan sendiri diatas jejambat, 100 peratus ditinggikan. Di Sarawak mereka menggunakan hydrogen tetapi kita masih lagi menggunakan elektrik.

"Dijangkakan projek ini akan dimuktamadkan pada bulan Ogos, ataupun lebih awal agar projek ini dapat bermula dan kita harap sangat projek ini dapat disiapkan sebelum projek RTS bermula secara penuh pada 2027 nanti,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di Iskandar Puteri, Johor.

MOT diharap dapat memberi pertimbangan untuk menyegerakan projek berkenaan, memandangkan kajian awal telah pun dibuat kerajaan negeri. 

Cadangan projek tersebut melibatkan 32 stesen di tiga laluan, dengan jarak lebih 50 kilometer, serta anggaran kos bernilai RM7 billion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE