fb fb fb fb fb

Kertas siasatan kejadian kepala air di Baling dijangka siap dalam tempoh terdekat

KOTA BHARU, 14 Julai- Kertas siasatan berhubung kejadian kepala air dan banjir lumpur yang mengorbankan tiga nyawa di Baling, Kedah awal bulan ini akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hasil siasatan dijangka akan diumumkan sebelum bermulanya sidang Parlimen minggu hadapan.

Jelas beliau, semua jabatan yang bertanggungjawab di bawah KeTSA telah diminta untuk menyiapkan laporan lengkap mengenai insiden bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Saya telah mengarahkan jabatan-jabatan ini supaya mempercepatkan laporan, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) akan mengambil gambar menggunakan dron, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan buat kajian dari segi tanah dan sebagainya, Jabatan Perhutanan juga akan mengambil langkah untuk menyiasat perkara ini," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Protech Seluruh Kelantan 2022 anjuran Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK) di sini.

(Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli)

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sebelum hasil siasatan lanjut diumumkan kelak.

Tambah beliau, KeTSA sentiasa komited dalam memastikan kelestarian alam sentiasa terpelihara selain menyifatkan kejadian bencana seumpama itu berlaku bukan hanya di negara ini bahkan di seluruh dunia.

Dalam kejadian kepala air dan banjir lumpur pada pukul 4.30 petang, 4 Julai lalu, tiga mangsa terkorban selain lebih 800 buah rumah penduduk terjejas terutama di Kampung Iboi serta sekitar kawasan Kupang di Baling.

Media Baharu