BUTTERWORTH, 7 Februari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti kertas siasatan berhubung lima anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang terlibat kes pemerasan seorang pekerja kilang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, kerta siasatan sudah dilengkapkan pegawai penyiasat sebelum diserahkan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian.
"Keputusan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri kalau saya cakap yang jika semua terlibat nanti ada yang mahu jadi saksi atau sebagainya.
"Jadi ini bercanggah jadi saya tidak mahu mengulas lagi, jadi bersabarlah, kita tengok pada keputusannya," Khaw Kok Chin bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 21/2024 sempena Tahun Baru Cina peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Tol Sungai Dua arah selatan.
Reman terhadap semua anggota polis itu dilanjutkan hingga 9 Februari ini.
Sementara itu, Khaw Kok Chin memberitahu bahwa Polis Pulau Pinang kini dalam proses menukarkan seramai 90 anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berkhidmat lebih enam tahun ke jabatan lain, dalam usaha mengurangkan kes salah laku dalam kalangan warganya.
Tindakan itu dibuat susulan kejadian membabitkan kes pemerasan melibatkan kesemua anggota polis berkenaan.
Dalam kes berasingan Khaw Kok Chin berkata, polis sedang menjalankan siasatan terhadap pasangan suami isteri masing-masing berusia 37 dan 50 tahun yang bertindak mengganggu penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang.
Katanya, walaupun salah seorang suspek dikatakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) perbuatan itu menjadi satu kesalahan kerana mengundang bahaya kepada orang lain.
Pihaknya membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan berhubung kes itu.
"Tetapi untuk makluman kedua-dua subjek ini, pertama laki dan perempuan ini pernah ada rekod ugutan jenayah.Tiga rekod ugutan jenayah. Dan kita akan siasatlah," kata Khaw Kok Chin
Perintah reman selama empat hari sudah diperoleh bermula hari ini bagi menjalankan siasatan.
Sebelum ini tular video yang memaparkan kelakuan berbahaya pasangan berkenaan, video itu memaparkan seorang penunggang motosikal lelaki sedang membonceng seorang wanita dalam keadaan berbahaya.
Ketika itu suspek wanita didapati membaling sesuatu objek dipercayai pasir dan cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikal ditunggangi suaminya.