KOTA BHARU, 7 Februari - Kira-kira 300 warga emas kaum Tiong Hua di sini menerima sumbangan angpau dan limau sempena Tahun Baharu Cina 2024, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, sumbangan berkenaan dilakukan pihaknya dalam usaha memeriahkan lagi sambutan perayaan tersebut.
“Semua perayaan termasuklah Tahun Baharu Cina adalah suasana yang patut diraikan dengan suasana yang penuh kegembiraan.
"Hari ini sebenarnya adalah satu tanda bahawa kita bersama-bersama dengan masyarakat dalam meraikan Tahun Bharu Cina, maka hari ini kita bagi sedikit angpau bersama-sama dengan sekotak limau yang merupakan simbol keharmonian kesejahteraan oleh kaum Cina", kata Dr Hafidzah kepada pemberita di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat DUN Kota Lama di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini.
Tambahnya lagi, program sedemikian mampu merapatkan lagi hubungan dan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat khususnya di DUN tersebut.
Dalam pada itu, Dr Hafidzah mengingatkan orang ramai yang akan pulang ke Kelantan sempena cuti Tahun Baharu Cina dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang ketika memandu.