KUALA LUMPUR, 19 Disember - Kerjasama antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan 27 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) membuka ruang lebih luas kepada pelajar dan masyarakat dalam memperkukuh disiplin dakwah Islamiyah serta memperluas jaringan kerjasama strategik antara institusi akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semalam, pelajar berpeluang menyertai pelbagai program pembangunan diri termasuk latihan industri, mobiliti pelajar, penyelidikan, penerbitan serta penglibatan aktif dalam aktiviti dakwah bersifat inklusif dan berimpak kepada komuniti.
Kerjasama berskala besar itu turut memberi manfaat kepada rakyat apabila kepakaran akademik universiti dimanfaatkan untuk membangunkan modul, penulisan, penerbitan dan program dakwah yang lebih tersusun, selari dengan cabaran semasa masyarakat majmuk serta landskap komunikasi moden.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata penglibatan universiti amat penting bagi memastikan usaha dakwah dilaksanakan berasaskan ilmu, penyelidikan dan kefahaman konteks semasa, sekali gus mendekatkan mesej Islam kepada masyarakat secara lebih berkesan.
"Kerjasama ini membolehkan pelajar dan pensyarah turun ke lapangan bersama YADIM, berkongsi kepakaran serta menyumbang secara langsung kepada masyarakat," katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Inisiatif itu juga membuka peluang kepada pelajar bidang bahasa, komunikasi dan pendidikan untuk terlibat dalam kerja-kerja terjemahan, penyampaian mesej dakwah serta aktiviti kemasyarakatan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kepekaan sosial mereka.
Majlis pemeteraian MoU itu disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat, dengan dakwah digerakkan secara lebih menyeluruh, progresif dan dekat dengan rakyat.
Majlis tersebut turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom.
Sementara itu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang mewakili UPSI menyifatkan kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasa agenda dakwah negara secara lebih menyeluruh, tersusun dan berimpak tinggi berteraskan ilmu serta penyelidikan.
"UPSI melihat MoU ini sebagai satu platform penting untuk membangunkan modal insan mahasiswa secara holistik, khususnya melalui latihan industri, program mobiliti serta penglibatan aktif pelajar dalam agenda dakwah yang berteraskan ilmu dan nilai kemasyarakatan," katanya.