fb fb fb fb fb

Banjir Pahang: Bilangan penduduk terjejas berkurangan

Foto RTM

KUANTAN, 19 Disember -Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang berkurangan kepada 12,555, berbanding lebih 13,000 orang, setakat tengah hari tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan kesemua mereka masih ditempatkan di 79 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Kuantan kekal sebagai daerah paling terjejas dengan 10,646 orang daripada 3,546 keluarga masih ditempatkan di 47 PPS di daerah. Temerloh menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila tiga PPS dibuka tengah hari tadi.
Ini menjadikan tujuh daerah terjejas, termasuk Maran, Rompin, Pekan, Jerantut serta Lipis," menurut portal tersebut.

Dalam perkembangan sama, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang memaklumkan sebahagian penduduk terjejas telah dibenarkan pulang sejak awal pagi tadi.

Situasi itu susulan penurunan paras air di beberapa kawasan dan keadaan dijangka terus bertambah baik.

Bagaimanapun, penduduk di lembangan Sungai Pahang, termasuk Temerloh, Maran, Bera serta Pekan, diminta kekal berwaspada serta berpindah awal sekiranya paras air meningkat.

TETITIA YUSOFF