fb fb fb fb fb

Tiada unsur salah guna identiti - JPN

Semakan juga mendapati tiada pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah atau penglibatan warga asing seperti didakwa

PUTRAJAYA, 19 Disember - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan berlaku penyalahgunaan nombor MyKad milik arwah bapa seorang individu seperti yang tular di media sosial, termasuk dakwaan ia melibatkan warga asing.

JPN dalam satu kenyataan menjelaskan, semakan terperinci mendapati dua individu yang dirujuk dalam paparan itu merupakan warganegara Malaysia dengan nombor MyKad berbeza.

"Semakan juga mendapati tiada sebarang unsur penyalahgunaan identiti, pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah atau penglibatan warga asing seperti didakwa," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial oleh seorang individu mendakwa nombor MyKad milik arwah bapanya digunakan oleh warga asing.

Hantaran itu memaparkan dua nama berlainan dipaparkan ketika semakan Maklumat Wang Tidak Dituntut di portal eGUMIS milik Bahagian Wang Tidak Dituntut (BWTD) Jabatan Akauntan Negara.

Berikutan itu, JPN mengesahkan nombor MyKad milik arwah bapa individu berkenaan sah dan kekal didaftarkan atas nama arwah.

Semakan silang juga telah dilakukan bagi memastikan ketepatan maklumat.

Waris boleh membuat pengesahan rasmi di mana-mana pejabat JPN dan dinasihatkan merujuk terus kepada BWTD bagi membuat tuntutan selaras dengan prosedur ditetapkan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi, tuduhan tidak berasas atau menyebarkan maklumat belum disahkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan awam," menurut kenyataan itu lagi.

MASNIZA AWANG KECHIK