fb fb fb fb fb

Kerjasama SWCorp dan USM meterai perkongsian maklumat, kepakaran dan pendidikan




NIBONG TEBAL, 8 Februari- Bagi menyokong dasar kerajaan dalam pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mewujudkan sebuah Pusat Latihan Kemahiran dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sehubungan itu, SWCorp dan Universiti Sains Malaysia USM memeterai kerjasama dalam program berkenaan bagi mendukung dasar kebersihan negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, pengurusan sisa pepejal perlu dilihat secara keseluruhan, dengan pembangunan modal insan dilihat sama penting bersama pembangunan infrastruktur dan teknologi.

'"TVET berpotensi menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan dan mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SWCorp dengan USM di sini pada Selasa.

Teks ucapan berkenaan dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) kementerian, Kamaruzaman Umar.

Majlis menandatangani MoU berlangsung di Kampus Kejuruteraan USM disaksikan Kamaruzaman Umar selaku wakil KPKT dan SWCorp diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mokhtar sementara USM diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata  UPM akan melaksanakan kajian berkaitan pengurusan dan teknologi sisa pepejal serta melakukan perkongsian maklumat, kepakaran juga melibatkan pendidikan.

"Kerjasama ini, SWCorp melalui pusat bertauliah 'Solid Waze Training Centre (SWTC), yang dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan USM akan melaksanakan secara bersama bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang melibatkan para siswa USM sebagai perantis," katanya.

kira-kira 1,000 bakal graduan USM Kampus Kejuruteraan akan mengikuti program pensijilan SKM dalam bidang tersebut bagi tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, program ini membolehkan pelajar dianugerahkan dua sijil selepas tamat pengajian iaitu sijil ijazah sarjana muda mengikut jurusan masing-masing dan sijil SKM Tahap 3 iaitu melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), sekali gus menjadi nilai tambah kepada bakal graduan.

"Pelajar USM merupakan kelompok pertama yang bakal mengikuti program pensijilan SKM dalam bidang tersebut di negara ini, sijil yang bakal dianugerahkan bertepatan dengan objektif USM untuk melahirkan graduan yang hebat dari segi akademik, berkemahiran dan mampu berdaya saing,” katanya

KPKT menyasarkan sehingga 10, 000 graduan memiliki SKM dalam bidang berkenaan di seluruh negara menjelang tahun 2030.

Media Baharu