fb fb fb fb fb

JBPM siap siaga hadapi musim kemarau, bilik gerakan bencana banjir terus beroperasi

BUKIT KATIL, 8 Februari - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga menghadapi musim kemarau yang dijangka melanda negara bermula Mac nanti.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, lebih 12,000 pegawai dan anggota di seluruh negara bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran sepanjang tempoh perubahan iklim tersebut.

Aset logistik berkaitan termasuk dron turut disediakan khusus untuk memantau lokasi terlibat.

Tambahnya, bilik gerakan JBPM di 16 negeri yang diwujudkan sepanjang tempoh bencana banjir lalu, masih beroperasi dan akan diteruskan bagi menghadapi musim kemarau.

“Sekarang kita dalam keadaan siap siaga untuk masuk di dalam satu tempoh perubahan iklim lagi dalam bulan Mac. Kita percaya akan mula musim kering, akan berlaku krisis air, kemarau dan juga boleh menyebabkan kebakaran hutan, kita telah pun bersiap sedia memandangkan sejak memperkasakan kesiapsiagaan dalam pengurusan bencana banjir kita belum tutup lagi bilik gerakan peringkat negeri, 16 negeri", kata Mohammad Hamdan Wahid selepas majlis perasmian ibu pejabat JBPM Melaka.

Ibu pejabat JBPM merupakan projek pembinaan yang dibangunkan dengan kos keseluruhan lebih RM11 juta melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-8 yang menjadi pusat koordinasi sistematik bagi 11 buah Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri Melaka untuk menangani kes-kes kecemasan.

Media Baharu