KUALA KEDAH, 8 Februari- Seorang kru bot nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama tekong dipukul ombak kuat pada
kedudukan 6.7 batu nautika barat laut di sini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, dalam kejadian 5.30 pagi itu, bot nelayan tempatan Kelas A yang berpangkalan di Kuala Sala itu sedang melakukan aktiviti menangguk siput, sebelum tekong menyedari mangsa tiada di atas bot.
Beliau berkata, mangsa, Mohd Ayob Jalaluddin,39, dipercayai terjatuh setelah bot dinaiki dibadai ombak yang kuat semasa dalam perjalanan balik ke pangkalan.
“Susulan itu, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi Carilamat dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 sejurus menerima maklumat daripada pengadu Ismail Saidin bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Noor Azreyanti memaklumkan, usaha mengesan mangsa turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.
Dalam perkembangan sama, operasi mencari dan menyelamat mangsa di Jeti Nelayan Kuala Kuar, dekat sini, ditangguhkan kira-kira jam 7 petang.
Katanya, buat masa ini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan pencarian akan disambung semula pada jam 8 pagi Rabu.