PUTRAJAYA, 8 Februari - Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan beroperasi tahun ini dengan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim lesen bagi pengoperasian Bazar Ramadan akan diberi kepada individu yang ingin berniaga bertujuan bagi menggerakkan aktiviti ekonomi di Wilayah Persekutuan.
“Bazar Ramadan akan dibuka seluas-luasnya untuk yang ingin berniaga. Jika dapat lesen berniaga, mereka perlu berniaga dan jangan beri orang lain berniaga. Sekarang adalah pasca COVID-19 dan kita perlu gerakkan aktiviti ekonomi,” kata Shahidan Kassim selepas melakukan tinjauan Agrobazaar dan Karnival Trak Makanan Putrajaya, di sini hari ini.
Tahun lalu, pengoperasian Bazar Ramadan di semua Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat antaranya kawalan keluar masuk pengunjung dan penjarakan fizikal.
Mengenai kebimbangan peningkatan kes COVID-19, ujar beliau pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa serta menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada.