TAWAU, 11 Mei- Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang amat penting selain mengambil sikap terbuka bagi menjamin kestabilan politik peringkat nasional dan Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dengan GRS masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan lagi.
"Kita mengambil sikap lebih terbuka, Itu yang saya hendak jelaskan. Bagi kita keutamaan kepada kestabilan politik nasional dan negeri harus baik," katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Lapangan Terbang Tawau, di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Terdahulu beliau turut mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di sini.
Ketika mengulas mengenai pemilihan KEADILAN 2025, perkara itu perlu dilakukan secara profesional kerana melibatkan persaingan dalam kalangan parti.
"Yang kita pertahankan ini adalah dasar perjuangan. Individu yang dipilih boleh diamanahkan untuk meneruskan perjuangan parti. Jadi jangan kita tanam bibit-bibit permusuhan," katanya lagi.