KUALA LUMPUR, 21 Mei- Kerjasama strategik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang dimeterai hari ini memperkasa industri minyak dan gas negara agar lebih berdaya saing dan mampan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia memperkukuh hubungan strategik dua entiti utama dalam sektor minyak dan gas negara.
"PETRONAS akan terus memainkan peranannya sebagai syarikat minyak dan gas negara, manakala PETROS pula diiktiraf selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak.
"Kerjasama ini akan dilaksanakan berdasarkan kerangka undang-undang persekutuan dan negeri.
"Kerjasama ini turut merangkumi projek-projek tenaga hijau, termasuk pembangunan hidrogen dan penjanaan elektrik hatta sejajar dengan aspirasi Sarawak ke arah masa depan yang lestari dan berinovasi," katanya.
Datuk Seri Anwar percaya segala perbincangan lanjut berkaitan pelaksanaan kerjasama itu dibuat berdasarkan penilaian daripada segi daya maju komersial dan teknikal.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memeterai Kenyataan Bersama mengenai kerjasama PETRONAS dan PETROS di Putrajaya.