KUALA LUMPUR, 9 Jun - Kerjasama yang dirancang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor penting bagi memastikan pelaksanaan setiap projek di negeri itu memberi kesan menyeluruh, termasuk buat negara jiran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima kunjungan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam bagi membincangkan pelbagai perkara berhubung kait tata kelola dan peruntukan bagi pembangunan dan ekonomi Johor.
"Antara isu yang disinggung meliputi pembinaan infrastruktur kesihatan dan jalan raya, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Financial Hub (Hab Kewangan), pembinaan masjid serta sekolah agama di tanah wilayah FELDA," kata Anwar menerusi hantaran di media sosial.
Tambah Anwar, turut ditekankan adalah bantuan pasca banjir bagi golongan petani, penternak dan nelayan dan isu penyelenggaraan serta pembaikan rumah pangsa melebihi 40 tahun.