fb fb fb fb fb

Kerjasama JAKIM-USIM lahirkan huffaz profesional

(Datuk Dr Naim menyaksikan Majlis MoA JAKIM bersama USIM)

PUTRAJAYA, 15 Mac- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperbaharu memorandum perjanjian (MoA) program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi pelajar Darul Quran.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar, kerjasama antara universiti bersama Darul Quran JAKIM ini dilihat mampu melahirkan lebih ramai huffaz profesional yang menguasai ilmu duniawi dan juga ukhrawi.

"Ini semangat yang kita nak lahirkan supaya mereka ni sentiasa
berlumba-lumba ke arah menjadi pelajar-pelajar yang terbaik. Jadi bila mereka ini ada semangat berlumba-lumba tadi tu bila mana dengan adanya program kita bersama pihak USIM nanti.

"Insya-Allah kita dapat pastikan kita dapat menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar ini bukan sekadar menghafaz al-Quran tetapi mereka ini ada misi bahawa selepas daripada ini aku akan ikuti pula pengajian ijazah sarjana itu," kata Naim kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis MoA JAKIM bersama USIM di sini.

(Datuk Dr Naim ditemu bual selepas menyaksikan Majlis MoA JAKIM bersama USIM)

Seramai 384 siswazah berjaya dilahirkan sepanjang 14 tahun jalinan kerjasama antara USIM dengan Darul Quran JAKIM melalui program ini.

Selain itu, JAKIM juga akan terus memperkasakan pendidikan tahfiz melalui kaedah kolaborasi bersama institusi-institusi pengajian tinggi lain bagi mempelbagai kemahiran dan kebolehpasaran mereka.

Menurutnya lagi, Darul Quran sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak yang yang ingin bekerjasama ke arah memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

Beliau berharap kerjasama ini dapat melahirkan lebih ramai huffaz profesional yang menguasai bidang pengajian al-Quran dan Sunnah menerusi gabungan elemen tradisional dan kontemporari yang mahir lagi berketerampilan.

Media Baharu