fb fb fb fb fb

Kerjasama erat TH, Mashariq lancarkan operasi haji Malaysia

Mohd Hisham Harun dan Ali Hussein Al Bundugi/RTM

MEKAH, 4 Mei- Kerjasama strategik yang dijalin erat antara Lembaga Tabung Haji (TH) dan Mashariq Holdings terus membuktikan peranan penting kedua-dua pihak dalam memastikan kelancaran operasi haji bagi jemaah Malaysia musim ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata hubungan berdasarkan nilai saling menghormati dan tanggungjawab bersama menjadi kunci dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

"Sejak tiga tahun lalu, kami telah bekerjasama dengan Al-Masiyah dan perkhidmatan telah dipertingkatkan dengan ketara. Alhamdulillah, selaras dengan visi Kerajaan Arab Saudi dan semangat perpaduan, kami dapat memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah Malaysia berada pada tahap terbaik, Insya-Allah," katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah al-Masyariq al Masiyah, Ali Hussein Al Bundugi pula menjelaskan, Malaysia dan Tabung Haji merupakan antara negara pertama yang menandatangani kontrak jangka panjang selama tiga tahun bersama syarikat itu.

"Tabung Haji merupakan antara pihak terawal yang menandatangani kontrak jangka panjang selama tiga tahun bersama kami. Ini menunjukkan mereka mempunyai visi jauh ke hadapan dalam memilih rakan strategik yang sesuai, bukan sekadar untuk satu musim. Hasil daripada keputusan tersebut kini jelas kelihatan," katanya.

Kedua-dua mereka ditemui pemberita selepas Majlis Ta’aruf Rombongan Rasmi Haji Malaysia bersama Mashariq Holdings yang diadakan di Mekah.

Hasil komitmen bersama serta perancangan rapi kedua-dua pihak juga membolehkan peningkatan kualiti perkhidmatan kepada jemaah sepanjang perjalanan haji mereka.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Mashariq Holdings, Mahmoud Damanhouri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Waleed Mohammed Rashidi.

Mashariq merupakan syarikat yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan perkhidmatan utama kepada jemaah Malaysia terutamanya ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina semasa kemuncak ibadah haji (masyair).

SITI AISHAH MD ISA