Petaling Jaya, 3 Mei-Tiga teras strategik diberi penekanan oleh kerajaan sebagai persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, teras itu merangkumi kelestarian, pendigitalan dan kerjasama sektor awam-swasta.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif pelancongan lestari, pendigitalan dalam sektor pelancongan serta pengukuhan kerjasama strategik antara pihak kerajaan dan pemain industri swasta amat penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di rantau ini.
"Ketika kita bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan beriltizam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif, menarik dan lestari untuk pengunjung dari seluruh pelosok dunia. Kerajaan turut komited mempercepatkan transformasi digital merentasi rantaian nilai pelancongan, merangkumi pemasaran digital, tempahan dalam talian, platform pelancongan pintar serta pembuatan keputusan berasaskan data," katanya dalam ucapan perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini malam tadi.
Tambahnya, realiti hari ini memerlukan Malaysia bergerak secara inklusif melalui pendekatan secara menyeluruh termasuk kerjasama erat, berkongsi kepakaran serta menyelaras strategi, selain berkongsi pandangan dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan yang kaya dengan budaya, kepelbagaian dan pengalaman yang unik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MATTA yang selama lima dekad menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem pelancongan negara dan membantu mencipta peluang pekerjaan serta menyokong komuniti setempat. #