KUALA LUMPUR, 4 Mei- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025.
Dalam titah Baginda, Seri Paduka menyampaikan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota bomba atas pengorbanan, keberanian dan dedikasi mereka dalam melindungi keselamatan rakyat.
“Terima kasih di atas pengorbanan, keberanian dan dedikasi anda semua. Anda adalah wira yang sentiasa bersedia menghadapi bahaya demi keselamatan masyarakat.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
"Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada", titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Hari Anggota Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun bagi menghargai sumbangan dan jasa anggota bomba di seluruh dunia.