fb fb fb fb fb

Kerjasama bekas Menteri dan KKM, perkasa sistem kesihatan negara

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Kejayaan dan pembangunan sistem kesihatan negara yang telah dilaksana tiga Menteri Kesihatan terdahulu akan dijadikan panduan dalam menerajui kementerian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata satu platform khusus akan disediakan dalam masa terdekat bagi membolehkan bekas-bekas Menteri Kesihatan itu menyalurkan pandangan dan maklumat bagi menambah baik sistem kesihatan di negara ini.

Tambahnya, langkah itu merupakan inisiatif memastikan kerjasama berterusan terutama apabila ketiga-tiga bekas Menteri itu menyatakan kesediaan menyumbang idea dan bekerjasama.

"Saya sudah meneliti perkara yang dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan. Perkara yang kita perlu lakukan adalah melaksanakan apa yang telah tersedia selain kami dalam proses memahami konteks-konteks yang berada dalam Kertas Putih.

Saya akan pastikan sepanjang tempoh penggal ini kita akan sentiasa memperbaiki dan menambah baik perkhidmatan kesihatan yang berkesan terhadap rakyat. Kita akan wujudkan satu platform khusus dalam menerima pandangan bekas Menteri Kesihatan berhubung aspek kesihatan negara. Ia akan dilaksana secepat mungkin," kata Lukanisman ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas pelancaran Hari Perlindungan Kesihatan Sejagat Malaysia 2022 di ibu negara.

Antara yang menjadi tumpuan adalah Forum Reformasi Kesihatan Malaysia: Kejayaan dan Peluang yang menghimpunkan ketiga-tiga bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Dr. S.Subramaniam, Datuk Seri Dr. Dzulkefly dan Khairy Jamaluddin selaku ahli-ahli panel berkongsi pengalaman serta cabaran yang dihadapi sepanjang menerajui Kementerian Kesihatan.


(Tiga bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Dr S. Subramanian, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Khairy Jamaluddin)

Media Baharu