KUALA LUMPUR, 2 Julai- Projek pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), merupakan ikhtiar Kerajaan MADANI berteraskan kaedah kerjasama awam swasta.
Pendekatan itu dilaksana bagi mempercepat proses pelaksanaan pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Daerah Kerian, Perak sebagai langkah meningkatkan pelaburan domestik di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan apabila KIGIP beroperasi sepenuhnya, ia dijangka dapat menarik minat pelabur asing dan domestik untuk melabur.
Ia sekali gus, memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara, selain berupaya membina rantaian bekalan bagi menyokong perkembangan industri domestik.
"Dia akan bergantung kepada kekuatan tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama dan fasa pertama yang telah diumumkan melibatkan pembangunan tanah berkeluasan 1000 ekar.
"Ia memudahkan kerana seluruh tanah ini dimiliki oleh Sime Darby dan Kerajaan Negeri Perak telah mempercepatkan proses pengambilan tanah yang dijangka bermula dalam kadar segera, tahun ini juga", katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan pelaksanaan projek KIGIP dapat disegerakan pada tahun ini kerana tiada isu pengambilan tanah.
Tanah untuk melaksnakan pembangunan taman perindustrian tersebut dimiliki sepenuhnya Sime Darby yang turut berkolaborasi dalam projek berkenaan.
"Projek itu boleh dimulakan tahun ini juga. Pembesaran dan pemuliharaan Sungai Perak serta penyaluran paip yang dialihkan ke kawasan Kerian dan ke Seberang Perai khususnya", katanya.
Pernyataan tersebut bagi menjawab soalan wakil Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkaitan hala tuju Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dalam meningkatkan pelaburan domestik.