LANGKAWI, 16 Mei- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan di jalan utama di Langkawi dihentikan sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) berlangsung mulai 23 Mei ini.
Arahan itu berkuat kuasa bermula 21 hingga 28 Mei ini.
Beliau berkata langkah itu bagi membantu melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan, susulan penambahan kenderaan sempena pameran antarabangsa itu.
"Jalan Persekutuan di Langkawi ini adalah 193km. Jadi, beberapa tempat perlu kerja-kerja penyelenggaraan termasuk peruntukan yang ada tahun ini sebanyak RM 3.8 juta untuk kerja-kerja pembaikan sejak beberapa bulan sehingga hari ini," kata Nanta kepada pemberita ketika lawatan kerja Menteri Kerja Raya ke Langkawi, hari ini.

(Foto FB Menteri)
Hadir sama, Timbalan Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Sehingga kini, sebanyak RM1.2 juta diperuntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan berkala dan RM500,000 merangkumi skop kerja-kerja mengecat garisan jalan yang telah siap.
Ia bagi keselesaan pengguna jalanraya dan rakyat khasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan yang sewajarnya untuk semua kerja baik pulih dan penyelenggaraan yang berkaitan di Langkawi demi memastikan pulau peranginan berkenaan bersedia menjadi hos pameran bertaraf antarabangsa itu.