fb fb fb fb fb

Kereta terbalik di Jalan Sri Aman-Serian, wanita terkorban

Foto RTM

SERIAN, 14 Jun-Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki terbalik dalam kemalangan kendiri di Telagus, Jalan Sri Aman-Serian petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pukul 3.20 petang.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian kemudiannya digerakkan ke lokasi kemalangan.

Setibanya di lokasi, mereka mendapati pemandu lelaki berusia 32 tahun yang mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam.

Sementara itu, penumpang wanita berusia 30 tahun didapati tidak sedarkan diri dan masih berada di dalam kenderaan.

Anggota bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD